I made this widget at MyFlashFetish.com.

Me N Him

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, December 1, 2011

Kasyaf dan ilham sufi

Setiap makhluk yang diciptakan Tuhan dilengkapkan-Nya dengan fitrah. Fitrah menerbitkan bakat dan keupayaan semulajadi yang membolehkan setiap kejadian itu berfungsi menurut kejadiannya. Fitrah matahari mengheret matahari untuk bergerak pada satu landasan sambil mengeluarkan cahaya yang mengandungi tenaga yang diperlukan oleh kejadian di bumi. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, galian dan lain-lain semuanya mempunyai fitrah masing-masing dan setiap satunya bergerak menurut peraturan fitrahnya. Di antara semua kejadian, manusia dikurniakan fitrah yang paling sempurna kerana manusia berkewajipan memerintah dan mentadbir sekalian makhluk. Malaikat sendiri tunduk kepada manusia. Malaikat yang menguruskan bidang penglihatan tidak menghalang manusia menggunakan penglihatan matanya sekalipun yang dilihat olehnya itu diharamkan oleh Allah s.w.t. Malaikat yang menjaga nyawa tidak mencabut nyawa itu sekalipun manusia melakukan kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah s.w.t.

Fitrah manusia merupakan sebaik-baik persediaan dalam melaksanakan tugas-tugas kehambaan kepada Allah s.w.t. Melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan menguruskan kehidupan di bumi merupakan kewajipan manusia. Dalam melaksanakan hal yang demikian itu fitrah manusia dikurniakan sesuatu yang sangat luar biasa iaitu keupayaan untuk membuat pilihan. Hanya manusia dan jin yang memiliki keupayaan memilih. Makhluk lain tidak diberikan bakat tersebut. Dalam membuat pilihan fitrah manusia boleh menggunakan bakat-bakatnya iaitu fikiran, ilham dan kasyaf.

Melalui bakat berfikir manusia boleh membuat pilihan dalam menguruskan kehidupan lahiriah mereka. Kekuatan fikiran yang ada dengan manusia mengangkat manusia kepada darjat yang tinggi. Mereka mampu menguasai daratan, lautan dan udara. Mereka mampu mengambil manfaat daripada anasir alam yang ada di sekeliling mereka. Sempadan bagi kekuatan fikiran adalah jangkauan pancaindera dan logik. Apa yang tidak mampu dijangkau oleh pancaindera akan menimbulkan kesulitan kepada fikiran dan apa yang tidak termasuk dalam bidang logik akan mengelirukan fikiran.

Bidang yang tidak dapat diterokai oleh fikiran mampu diterokai oleh ilham. Fikiran sangat mahir dalam menyusun sesuatu yang bersangkutan dengan kebendaan. Kebendaan yang menjadi bidang fikiran ini bertindak sebagai hijab kepada bidang ilham. Pengaruh dan tarikan kebendaan menjadi tembok yang menghalang manusia daripada memperolehi ilham.

Pengaruh dan tarikan kebendaan tertuju kepada hati. Jika hati dapat keluar daripada kekuasaan dan ikatan kebendaan hati akan mampu mengeluarkan sinar cahayanya untuk memperluaskan bidang yang dapat diterokai oleh akal fikiran melalui cetusan ilham. Akal fikiran yang dibantu oleh ilham dapat keluar dari bidang logik dan sempadan kebendaan. Manusia dapat menerima kewujudan kuasa ghaib yang menguasai anasir alam yang nyata.

Terdapat dua golongan manusia yang menguasai bidang ilham. Mereka adalah ahli falsafah dan ahli sufi. Ahli falsafah yang menggunakan kekuatan diri sendiri hanya mampu mengambil ilham pada bahagian permukaan sementara ahli sufi berkeupayaan untuk menyelam ke dasar lautan ilham. Walaupun berbeza darjat ilham tetapi oleh kerana ia masih di dalam satu daerah, maka terdapat tolak-ansur di antara sufi yang di dalam daerah ilham dan ahli falsafah yang juga di dalam daerah ilham. Sufi yang begini beranggapan ahli falsafah adalah juga ahli sufi. Begitu juga anggapan ahli falsafah terhadap ahli sufi. Fahaman ahli falsafah dan fahaman ahli sufi tahap ilham banyak persamaan. Sufi pada tahap ini boleh bekerjasama dengan ahli falsafah dalam mengwujudkan kepercayaan atau agama sejagat. Agama sejagat ini mengambil nilai-nilai murni kemanusiaan sebagai peraturan hidup dan keikhlasan sebagai kehambaan kepada Tuhan. Setiap individu diperlukan mempratikkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan bebas melakukan keikhlasan menurut kemampuan dan bakat yang ada dengannya dalam menyatakan khidmatnya kepada Tuhan. Golongan ini sangat mengasihi manusia dan sangat bertolak ansur dengan sesama manusia. Mereka menganggap semua agama adalah baik dan benar. Mereka berfahaman semua agama menyembah Tuhan yang sama walaupun caranya berbeza. Mereka tidak mengutuk perbuatan memyembah Tuhan dengan menggunakan perantaraan seperti patung-patung. Kebanyakan agama dalam dunia hari ini telah diolah semula oleh golongan sufi-falsafah. Maksud sufi di sini termasuklah ahli agama yang selain Islam yang mengamalkan bidang kerohanian dan melatih diri dalam bidang tersebut. Dari kalangan merekalah muncul orang-orang yang membina tempat patung-patung dalam tempat-tempat ibadat agama Nasrani dan Yahudi. Orang yang beragama menyembah berhala tidak berasa janggal apabila mereka memasuki rumah ibadat orang Nasrani dan Yahudi. Pengaruh yang demikian juga menjalar ke dalam masyarakat Islam. Orang-orang Islam yang berjiwa falsafah gemar membina sesuatu yang menonjol dan tersergam di dalam masjid-masjid. Jika penyembah berhala melihat kaum Muslimin sedang sujud mungkin mereka menyangka kaum Muslimin sujud kepada benda yang menonjol dan tersergam itu.

Sufi seterusnya masuk ke dalam bidang kasyaf. Penyaksian mata hati dan pengalaman rasa merupakan bidang kasyaf. Hati menyaksikan dan merasakan suasana ghaib dan hal-hal yang berhubung dengan ketuhanan. Walaupun sufi menyaksikan dan merasakan hal ketuhanan tetapi ia bukanlah Tuhan. Apa yang dibukakan kepada sufi itu adalah ibarat kunci yang membuka pintu makrifat untuk sufi mengenali Tuhan. Kasyaf tahap tertinggi hanyalah pengalaman rasa tanpa penyaksian tentang hal ketuhanan itu. Pengalaman rasa atau zauk tanpa penyaksian membawa sufi bermakrifat tentang Allah s.w.t yang Maha Esa, tiada sesuatu yang menyerupai-Nya. Makrifat cara begini menanamkan kefahaman yang tidak mampu dihuraikan.

Penghuraian yang lengkap tentang Allah s.w.t hanya terdapat dalam wahyu. Apa yang diterangkan oleh wahyu tentang Allah s.w.t dapat difahami oleh seseorang manusia menurut tahap pemikiran, ilham dan kasyafnya. Orang yang mempunyai ke tiga-tiga bakat-bakat fitrah itu secara sempurna akan mengenal Allah s.w.t dengan sempurna. Wahyu menerangi kasyaf, kasyaf menerangi ilham dan ilham menerangi fikiran. Nur wahyu yang menerangi kasyaf, ilham dan fikiran itu membuka simpulan pada lidah sehingga lidah boleh berucap dengan fasih tentang Allah s.w.t, menurut kadar yang Dia izinkan.

Apabila sekalian bakat-bakat fitrah itu sudah disinari oleh nur wahyu baharulah fitrah kemanusiaan itu melonjak kepada fitrah Muslim. Manusia yang fitrahnya belum mencapai tahap fitrah Muslim, walaupun pintar menggunakan akal namun, dia masih belum bersesuaian dengan kehendak Allah s.w.t. Daya nilai fitrah manusia banyak bersesuaian dengan daya nilai fitrah Muslim dalam bidang akhlak tetapi tidak dalam bidang ketuhanan. Kebenaran yang sejati berada pada fitrah Muslim. Apa yang dinilaikan baik oleh fitrah manusia jika bercanggah dengan penilaian fitrah Muslim, maka fitrah manusia mesti akur dengan kebenaran fitrah Muslim. Orang Islam yang bijak sekalipun tidak akan dapat melihat hikmah di sebalik suruhan dan tegahan agama, sekiranya fitrahnya tidak naik kepada tahap fitrah Muslim atau pun jika akalnya enggan tunduk kepada kebenaran yang dinyatakan oleh wahyu. Apabila fitrah manusia mencapai tahap fitrah Muslim, akan ujudlah penyerahan yang sejati kepada Allah s.w.t, tanpa hujah dan tanpa takwil. Dia akan tunduk kepada peraturan Allah s.w.t yang dibawa oleh Rasul-Nya. Dalam jiwanya akan lahir keghairahan beragama. Dia akan cemburu jika Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w, al-Quran dan agamanya dipersendakan apa lagi kalau dikhianati.

Semua bakat-bakat fitrah mestilah menjadi Muslim. Akal fikiran menjadi Muslim, ilham menjadi Muslim dan kasyaf menjadi Muslim. Bila semua bakat itu sudah menjadi Muslim, akan bercahayalah Roh Islam seseorang itu. Roh Islam akan hanya mengeluarkan yang Muslim, tidak ada percanggahan dengan Islam. Roh Islam yang paling sempurna adalah Roh Nabi Muhammad s.a.w. Jibrail a.s membacakan wahyu dan Roh Islam Nabi Muhammad s.a.w mentafsirkannya. Apa yang baginda s.a.w tafsirkan menepati apa yang wahyu maksudkan, tanpa sedikitpun percanggahan. Jika mahu melihat al-Quran dalam rupa manusia, maka Nabi Muhammad s.a.w adalah ‘al-Quran' yang hidup, berkata-kata dan bergerak dalam daerah kehidupan manusia. Selain Nabi Muhammad s.a.w darjat persamaan dengan wahyu itu bertingkat-tingkat menurut darjat akal, ilham dan kasyaf masing-masing.

Fikiran, ilham dan kasyaf sufi bukanlah satu sumber ilmu yang menyamai wahyu atau pun bebas daripada wahyu. Bakat-bakat tersebut hanyalah alat untuk mentafsirkan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w mengenai sesuatu perkara yang diimani. Bakat-bakat tersebut walaupun boleh digunakan sebagai alat bagi menterjemah wahyu tetapi ia bukanlah secara sempurna. Ia berkedudukan seperti ijtihad para mujtahid yang mungkin benar dan mungkin silap. Dalam pembinaan hukum dan fatwa yang mengenai orang ramai, kedudukan ijtihad ahli mujtahid lebih kuat daripada ilham dan kasyaf sufi.

Ilham dan kasyaf sufi lebih bersifat peribadi, berguna untuk sufi itu sendiri dalam menentukan arah tindakannya. Kesan mabuk yang berlaku pada jalan kewalian sufi sukar terpisah daripada seseorang sufi itu dan kesan tersebut boleh mempengaruhi ilham dan kasyafnya. Apa yang diperolehi oleh sufi yang dipengaruhi oleh mabuk mungkin tidak menepati kebenaran yang asli. Sufi tersebut mungkin mengeluarkan pendapat yang kurang benar dan meninggalkan yang lebih benar. Oleh yang demikian kebenaran ilham dan kasyaf sufi itu mesti diuji dengan kebenaran al-Quran dan as-Sunah. Kedudukan seseorang sufi itu diukur dengan melihat sejauh mana ilham dan kasyafnya bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Sufi yang telah mencapai tahap kewalian peringkat tertinggi, yang telah terlepas daripada kesan mabuk, fana dan bersatu dengan Tuhan, tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunah.

Al-Quran dan Hadis telah memberi penjelasan yang lengkap mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah. Perkara yang sudah cukup terang dan jelas ini tidak boleh digugat oleh apa sahaja, termasuklah fahaman, ilham dan kasyaf sufi. Jika terjadi percanggahan di antara ucapan ahli sufi dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah mengenai perkara akidah, ia mestilah ditolak dan perkataan al-Quran dan as-Sunah itu yang wajib diimani. Ucapan sufi yang demikian hendaklah dianggapkan sebagai ucapan yang lahir daripada suasana hati yang dipengaruhi oleh mabuk dan fana dan sufi berkenaan belum lagi menghabiskan perjalanannya. Jika perkataan sufi menyokong kenyataan al-Quran dan as-Sunah, maka perkataan tersebut hendaklah dibenarkan. Dalam memahami maksud al-Quran dan as-Sunah, aliran Ahli Sunah wal Jamaah hendaklah diikuti.

Ada perkara-perkara yang al-Quran dan al-Hadis hanya memberi maklumat secara sepintas lalu atau pun tidak memberi maklumat sedikitpun. Perkara-perkara berkenaan termasuklah soal-soal syurga, neraka, bumi, alam maya, malaikat, jin, makhluk rohani dan lain-lain. Ahli sufi banyak memperkatakan soal-soal yang demikian berdasarkan ilham dan kasyaf mereka, tanpa sokongan nas yang sahih. Dalam soal ini orang ramai tidak dituntut untuk mengimani perkataan sufi. Ilham dan kasyaf sufi boleh jadi benar dan boleh jadi juga tidak benar. Nabi-nabi diperakui oleh Allah s.w.t sebagai maksum, dijamin terpelihara daripada gangguan syaitan dan tidak terjadi kesalahan pada ilham dan kasyaf mereka. Apa juga kekeliruan yang timbul akibat gangguan syaitan diperbetulkan dengan segera dan kebenaran perkataan Nabi-nabi ditetapkan. Jaminan yang demikian tidak diberi kepada golongan yang bukan Nabi. Namun begitu, perkataan sufi mengenai soal-soal yang tidak bersangkutan dengan akidah itu boleh dijadikan iktibar dan mempercayainya tidak menjadi kesalahan. Melalui perkataan mereka orang-orang yang ingin memahami perkara-perkara tersebut mendapat sedikit pemahaman yang boleh dikembangkan melalui kekuatan akal fikiran.

Sufi memperolehi maklumat melalui kasyaf. Kadang-kadang kasyaf berlaku kepada sufi dalam bentuk ibarat atau pembukaan secara umum tanpa perincian. Kasyaf yang demikian perlu ditafsirkan. Biasa terjadi tafsiran yang dibuat oleh sufi itu tidak menepati gambaran atau ibarat yang dibukakan kepadanya Bila sufi menerima berita secara umum maka tafsiran secara umum juga yang diberikannya. Maklumat yang diperolehi secara umum, tanpa perincian, tidak dapat menceritakan sesuatu perkara dengan tepat. Sufi juga mungkin mendapat maklumat mengenai sesuatu kejadian dan maklumat tersebut datangnya daripada sumber takdir yang akan berubah, sedangkan perubahan yang akan berlaku tidak dibukakan kepadanya. Allah s.w.t berfirman:

Apa sahajat ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )

Ayat di atas memberitahukan tentang takdir yang di dalam perbatasan yang boleh berubah dengan kehendak dan perintah Allah s.w.t.

Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar. ( Ayat 64 : Surah Yunus )

Ayat di atas ini pula memberitahukan tentang daerah takdir yang tidak akan berubah kerana Allah s.w.t telah menetapkannya. Kasyaf seorang sufi mungkin hanya sampai kepada daerah takdir yang mungkin berubah, tidak sampai kepada daerah takdir yang tetap. Oleh yang demikian apa yang disaksikannya mungkin berlaku dan mungkin juga tidak berlaku.

Perlu juga diketahui bahawa seseorang sufi melalui peningkatan kerohanian secara sedikit demi sedikit, bukan sekaligus. Suasana kerohanian atau makam mempengaruhi fahaman dan pegangan sufi. Seorang sufi boleh mengeluarkan beberapa pendapat yang berbeza mengenai perkara yang sama. Pendapatnya di awal perjalanan, pertengahan dan di akhir perjalanan mungkin bertentangan di antara satu sama lain. Pendapatnya yang paling benar adalah pendapat yang diberikannya setelah dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya dan berkamil dengan syariat sepenuhnya.

Sufi yang masih di dalam perjalanan menemui beberapa fahaman yang bercanggah dengan prinsip syariat. Di antara yang demikian adalah konsep tauhid af'al, tauhid sifat dan tauhid wujud. Konsep tauhid yang demikian membawa Tuhan ke dalam perbatasan alam dan mengadakan persamaan di antara Tuhan dengan makhluk. Sufi yang sedang dikuasai oleh suasana kerohanian yang demikian menafikan perbuatan dirinya, sifatnya dan wujudnya. Semuanya diisbatkan kepada Allah s.w.t. Muncullah ungkapan seperti: "Tiada yang berbuat melainkan Allah. Tiada yang hidup melainkan Allah. Tiada yang maujud melainkan Allah" dan lain-lain ungkapan yang seumpamanya. Ungkapan yang paling popular dikaitkan dengan kesufian adalah: "Ana al-Haq!" Ada golongan yang beranggapan kononnya sufi yang belum mengucapkan "Ana al-Haq" belum lagi mencapai makam yang paling tinggi. Golongan sufi ikutan menggunakan ungkapan yang demikian bagi memukau kesedaran diri sendiri dengan cara mengulangi ucapannya sebanyak mungkin dan menghayati maknanya sehingga terpahat kepercayaan yang demikian dalam jiwa mereka. Golongan yang mengikut secara membuta tuli inilah yang menyebarkan kesesatan, berselindung di sebalik perkataan sufi yang sedang mabuk.

Manusia yang masih ada keupayaan untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa, mestilah faham keadaan sufi yang fitrah mereka menerima kejutan alam ghaib sehingga keupayaannya untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa hilang. Sufi yang demikian dikatakan berada di dalam jazbah. Orang yang berada dalam jazbah adalah umpama orang yang keluar ke laut menaiki perahu kecil. Bila dipukul gelombang dia menjadi mabuk dan meracau. Setelah dia sampai ke tengah laut, ombak sudah tenang, mabuknya berkurangan dan akhirnya dia kembali normal. Bila dia sudah sedar dia tidak meracau lagi. Pengalaman jazbah berguna kepada sufi berkenaan kerana pengalaman yang demikian menanggalkan sifat-sifat yang keji dari hatinya dan sifat ikhlas menjadi sebati dengannya. Pengalaman jazbah itu juga berguna kepada guru yang menjadi pembimbing kerana dengannya guru dapat mengetahui suasana dan stesen kerohanian muridnya. Ia juga menjadi tanda bahawa murid berkenaan mempunyai harapan untuk menjadi cemerlang kesudahannya. Guru yang arif akan membimbing muridnya supaya melepasi peringkat-peringkat zauk sehingga sampai kepada penghujung jalan yang tenang dan damai. Murid yang sudah melepasi peringkat jazbah dan kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa akan menyedari akan kekeliruan yang muncul dalam fahamannya sepanjang perjalanannya. Dia bertaubat daripada pegangan yang lalu. Kini dia menyaksikan satu kebenaran sahaja iaitu kebenaran kehambaan kepada Allah s.w.t. Manusia dan jin diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, bukan untuk bersatu dengan perbuatan, sifat atau wujud-Nya.

Fahaman yang keluar dari ilham dan kasyaf sufi sekiranya menyalahi syariat wajiblah ditolak. Jika orang yang mengetahui tentangnya ada kebolehan, ucapan latah sufi haruslah diterjemahkan menurut stesen kerohanian sufi berkenaan dan penjelasan harus diberi kepada orang ramai agar latah sufi tidak disalahertikan. Sufi yang mengeluarkan ucapan latah ketika dalam jazbah haruslah dimaafkan, walaupun ucapannya menyalahi syariat. Harus diingat bahawa sufi tidak terlepas sepenuhnya daripada suasana mabuk sebelum dia sampai kepada makam siddiqiyat. Semua makam di bawah daripada makam siddiqiyat tidak terlepas daripada pengaruh mabuk sedikit atau banyak. Kesimpulannya pendapat sufi yang bertentangan dengan syariat wajib ditolak tetapi peribadi sufi itu sendiri tidak boleh dikutuk kerana dia dikuasai oleh mabuk.
:: Sekadar perkongsian bersama ::

Thursday, July 14, 2011

Haluan Kita

Assalamulaikum... hari ni saya nak kongsi sedikit tentang kategori2 manusia .. Jom kita baca ...

Kategori Pertama

Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata.Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran:

“Dan tentu akan mereka katakan: “Hidup hanyalah kehidupan kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan”.- Surah al-An’am: ayat 29

“Dan mereka berkata: “Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.”- Al Jatsiyah: ayat 24



Kategori Kedua

Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang ambing, aqidah bersimpang siur, mereka melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah SWT dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah SWT dan Hari Qiyamah tetapi aqidah mereka hanyalah gambaran semata-mata yang terputus hubungan dengan aktiviti atau amalan hidup mereka. Mereka itu pada hakikatnya berfahaman kebendaan (meterialis) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian.



Kategori Ketiga

Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat atau memungut hasilnya di akhirat kelak.Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah SWT. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia berbanding dengan Hari Akhirah.Allah SWT membandingkan mereka seperti dalam FirmanNya:

“Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.Maka tidaklah kamu memahaminya.”- Surah al-An’am: ayat 32

Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaanNya.Seluruh bidang hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran)diarahkan kepada Jalan Allah SWT.



Bagi menjamin supaya urusan hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka sewajarnya difahami dan dihayati beberapa kewajipan, iaitu:

1. Mengetahui matlamat hidup.Sebagaimana Firman Allah SWT:

“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri (kepadaKu).- Surah az-Zariyat:ayat 56

2. Mamahami nilai dunia berbanding dengan nilai akhirat.

Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu ? Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan akhirat) hanyalahsedikit.”- Surah at-Taubah: ayat 38

3. Mengetahui hakikat kematian dan mengambil pengajaran daripada kematian yang pasti berlaku kepada setiap manusia sebagaimana Firman Allah SWT:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui mati.”- Surah Ali ‘Imran: ayat 185

4. Mengetahui benar-benar akan hakikat Dinal-Islam dengan cara mempelajari dan mendalami dasar-dasar dan hukum-hakamnya.

5. Mengetahui hakikat jahiliyyah,iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan perancangannya. Disamping itu, mendedahkan akibat serta keburukan Jahiliyah. Dengan memahamiJahiliyyah barulah orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum,ia terselamat dari tipu daya mereka.”



Neraca Dalam Kehidupan

Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syara’, dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai lain.Kabaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syara’berdasarkan kaedah:

“Yang baik ialah apa yang dipandang baik oleh syara dan yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syara’.”

Terdapat banyak perintah Allah yang memerintahkankita agar mengambil nilai syara’ dan melarang daripada mengambil nilai yang lain daripada syara’. Antaranya Firman Allah SWT :

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atassatu syariat (peraturan) daripaa urusan (agama) itu, maka ikutilah syariatitu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” - Surah al-Jaatsiyah: ayat 18

Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya.Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadaNya).- Surah al-A’raf:ayat 3

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepadaTaghut, pada hal mereka telah diperintahkan agar mengingkari taghut itu.Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.”- Surah an-Nisa’:ayat 60

Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa memilih dan berpaut kepada yang lain daripada nilai Islam adalah merupakan kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan-sangkaan belaka dan merekatidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah SWT).”- Surah al-An’am: ayat 116

“Dan adalah tidak patut bagi lelaki mu’min dan tidak pula patut bagi perempuan mu’min, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu ketetapan akan ada pada mereka suatu pilihan (yang lain)tentang urusan mereka. Sesungguhnya sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yangnyata.” - Surah al-Ahzab: ayat 36



Nilai Yang Tetap

Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak berubah-ubah meskipun zaman beredar dan berubah. Dalam hal ini al-’Allamah Abu al’Ala al-Maududi telah menyatakan dalam risalahnya, Ila AyySyai’ Yad’ual-Islam, bahawa Allah SWT tidak semata-mata menurunkan undang-undang tertingi(Supreme Law) melalui Rasul bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap (Thabitah = Permanent Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al-Quran dan sunnah Rasul itu adalah baik selama-lamanya. Demikian juga sebaliknya, sesuatu yang ditetapkan buruk itu maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu juga yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut tidak boleh dipinda, ditambah, dikurangkan atau dihapuskan. Hanya yang berani membuat pindaan dan pembatalan itu ialah golongan atau jamaah yang melepaskan dan membebaskan diri daripada Islam.

Hal yang sama juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya yang sangat bernilai,Khasais at-Tasawwur al-Islami Wa Muqawamatuha, dalam satu tajuk, Ath-Thabat(Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan sekiranya ketetapan Allah SWT itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan demi kerosakan di alam ini.Firman Allah SWT:

“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsumereka, pasti binasalah langit dan bumi dan semua yang terdapat di dalamnya.Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (al-Quran)mereka tetapi mereka berpaling daripada kebanggaan tersebut.” - Surah al-Mu’minun:ayat 71



Nilaian Allah

Islam telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan olehAllah SWT di dalam FirmanNya:

“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh.”- Surah al-’Asr: ayat 1-3

Asy-Syahid Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa Iman merupakan dasar hidup yang amat penting bagi membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang hidup.Mana-mana amalan yang tidak lahir daripada keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah membuat perbandingan di dalam FirmanNya:

“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti debu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang mereka kerjakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” - Surah Ibrahim: ayat 18

“Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka adalah seumpama fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.”- Surah an-Nur: ayat 39

Amalan saleh itu adalah buah Iman. Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Ilahi. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.

Wallahu'alam.

Monday, July 11, 2011

Bersyukurlah Kita Dilahirkan Sebagai Islam

Mari kita renung kembali. Ada satu anugerah yang jarang disyukuri manusia. Terfikir kah anda apa dia ??? Biasa yang kita dengar. Si pelajar bersyukur dengan markah peperiksaan yang cemerlang. Si suami soleh bersyukur mendapat isteri solehah. Si ibu bersyukur di kurnia anak-anak yang bijak pandai. Si peserta bintang realiti seperti AF,Mari Menari dan berbagai lagi juga bersyukur apabila bergelar juara. Pendek kata, di dunia ini manusia akan bersyukur apabila mendapat perkara yang diingini. Namun satu perkara yang mungkin lupa disyukuri oleh kebanyakan manusia adalah nikmat lahir sebagai seorang Islam. Ya Allah, nikmat yg paling besar sebagai hamba Allah. Apabila lahir saja, kita diazankan, nama pula diberi berbin dan berbintikan bapa, tandanya kita seorang yang beragama Islam.

Tapai saya nak bawa anda renung kembali adakah semua manusia mengamalkan gaya hidup sebagai Islam? Adakah semua manusia mengamalkan gaya hidup seiring dengan penyaksian shahadah yang menjadi kunci keislaman mereka? Berapa ramai orang Islam yang masih menari terlompat-lompat di pusat hiburan seperti pub dan sebagainya. Berapa ramai wanita Islam yang mengandung anak luar nikah, MasyaAllah { hindarilah aku Ya Allah }. Berapa ramai pasangan Islam yang membuang anak hasil hubungan terlarang ?? Berapa ramai orang Islam yang masih meneguk arak ketika mengalami tekanan ?? Lihat, dengar dan renunglah dengan hati, adakah itu tanda kesyukuran kita dengan anugerah dilahirkan sebagai seorang Islam.Mari bersama kita fikirkan wahai semua saudaraku ...

Ada seorang adik pernah berjumpa dan bertanya saya " ustazah cuba tgk manusia yang tiada agama. Mereka berjaya dalam kehidupan. Rumah besar, pangkat besar, pendek kata semua yang diimpi menjadi nyata , diorg minum arak, duduk serumah walaupun x kahwin tapi nape Allah bagi kesenangan kat diorg , yg kita org islam sembahyang la apa lah, susah jugak " , Saya hanya terseyum seraya menjawab " Adik tgk kan ramai diantara umat islam atau yg bukan Islam yang terjun bangunan, terjun landasan kereta api?Kalau difikir dik , mana mungkin orang berpelajaran tinggi mcm mereka sanggup mengambil jalan semudah itu sebagai penyelesaian kepada tekanan diri. Yang jelas disitu, mereka tiada tempat mengadu. Mereka tidak tahu dimana mahu mengadu " dia hanya tersenyum selepas itu .

Shabat2ku mereka Cukup berbeza dengan orang Islam. keindahan Islam itu jelas dan nyata. Kita punya Allah, Tuhan yang Maha Esa sebagai tempat mengadu. Tidakkah kita renung kembali. Walaupun setiap hari melakukan dosa, setiap hari membuat Allah murka, tapi jika kita menadah tangan berdoa dengan yakin, Allah pasti kabulkan permintaan kita. Kita sedih, Allah memujuk. kita gembira Allah mengingatkan.

Saat kita rasa kita tak mampu, Allah pujuk hati kita;

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma’aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”(2:286)

Saat kita rasa dalam dilema, nak belajar ke tak pergi usrah. Report banyak ni. Mana sempat nak siap.Allah bantu kita memilih;

“Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”(58:11)

Saat kita rasa lemah, banyak tenaga, masa dan wang dilabur dalam medan dakwah, Allah
memujuk dan meyakini kita lagi;

“(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”(61:11)

Saat kita rasa dosa menggunung. Seakan-akan tiada lagi peluang pengampunan, Allah meyakinkan kita dalam kalamNya;

“Maka barangsiapa bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(5:39)

Banyak sekali janji Allah dalam kalamNya. Jika hidup benar-benar berpandu kepada Al-Quran ini, subhanallah Ya Allah. Pasti yang sedih tidak dirintih, yang gembira tidak dirai berlebih-lebihan. Malah dalam solat lima waktu setiap waktu solat, sekurang-kurangnya lima kali sehari kita ulang doa-doa yang sama dalam surah Al-Fatihah. Betapa kita mengaku Allah s.w.t Tuhan sekalian alam, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,Yang menguasai hari pembalasan. Betapa kita mengaku hanya Allah tempat kita sembah dan meminta pertolongan. Betapa kita memohon Allah tunjuki kita jalan yang lurus. Lengkap, melingkungi keseluruhan kehidupan kita. Namun kadang-kadang tidak termampu untuk menghayati doa-doa dalam solat kerana kadang-kadang dalam solatlah kita teringat mana kita letak barang yang kita tak jumpa, dalam solat jugalah kita terfikir nak makan apa lepas solat. Macam-macam gangguan syaitan yang hinggap. Hakikatnya syaitan memang makhluk yang kuat berusaha, berusaha menyesatkan manusia.Iman didada sebagai senjata penyelamat manusia dari mengikut hasutan syaitan yang membawa ke neraka jahanam.

Sekarang mari kita nilai kembali. Mengapa kita merungut apabila kita sedih? Mengapa mudah sangat perasan diri bagus apabila berjaya huhuhu, maaf ye kalau ada yg terasa ? Mengapa mudah sangat mencari dan mencela kesilapan orang lain? Mengapa susah sangat mengingati Allah setiap masa? Mengapa susah sangat nak belajar untuk bantu agama Allah? Mengapa berkira sangat masa dengan Allah s.w.t?

Allah Maha Penyayang. Allah Maha Pengampun. Allah Maha Mendengar doa hambaNya. Semua yang indah hanya ada pada Allah s.w.t. Tidakkah terdetik perasaan malu walau sedikit kepada Allah apabila terlalu banyak nikmatnya tidak kita syukuri. Macam muka tak malu saja guna pemberian Allah tanpa bersyukur. Syukur itu bukan sekadar ucapan dibibir, syukur itu hadir bersama-sama kerendahan hati selaras dengan perbuatan mensyukuri.

Bersyukurlah kita orang Islam. Bersyukurlah kita ada Dia tempat mengadu.

“ ……Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”

Sunday, July 10, 2011

Hikmah Bersabar ..

Hikmah Bersabar

Nak suruh orang bersabar sangat senang tapi nak suruh diri sendiri bersabar bukan perkara yang mudah. Senang atau susah untuk bersabar bergantung kepada seseorang, persekitaran dan masa. Sebenarnya kita dituntut supaya bersabar kerana banyak hikmahnya.

Pertama, dapat mengelakkan daripada penyakit. Jika kita tidak sabar tentu hati dan fikiran serta perjalanan darah dalam diri kita akan terganggu. Contohnya katakan jika kita terlampau marah kepada seseorang kerana ia telah menjatuhkan air muka kita di depan orang ramai maka kita pun tidak sabar dengan terus bertindak balas atau menyerangnya di depan orang ramai juga. Pada masa itu denyutan jantung kita semakin laju dan tekanan darah akan bertambah. Akibatnya jika kita terus bersikap demikian sudah pasti lama-kelamaan kita mungkin diserang sakit jantung atau darah tinggi.

Kedua, dapat mengekalkan hubungan silaturahim. Bila orang melihat sikap kita yang sentiasa bersabar menyebabkan mereka merasa senang dengan kita dan mereka ingin mengekalkan hubungan yang baik dengan kita.

Ketiga, Tuhan akan sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Sabar itu adalah separuh daripada iman.

Keempat, amalan bersabar boleh menyebabkan fikiran kita menjadi lapang dan tenang. Mungkin semasa kesusahan tidak berlaku kesenangan tetapi selepas itu barulah kita merasakannya.

Kelima, kajian telah mendapati ketika kita marah berjuta-juta sel dalam darah kita akan mati sedangkan sel-sel tersebut adalah penting untuk kita. Bagi mengelakkan kematian sel yang banyak ia perlu disekat dengan cara menghentikan kemarahan iaitu bersabar.

Walaupun pepatah ada mengatakan bahawa seberat-berat mata memandang berat lagi bahu memikul namun mengamalkan kesabaran sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan atau kesusahan yang sedang kita alami.

Wednesday, June 15, 2011

Kenangan Terindah




Ini gambar time saya dapat Anugerah Khas Penyelaras DPSM aka Pelajar Terbaik bagi diploma la... Alhamdulillah rezeki Allah , sebab dipilih oleh ustaz untuk terima anugerah tu ... First of All, anugerah yg saya dapat tu adalah hadiah untuk my family, my friend, pensyarah2 dan semangat saya ..hahaha
Syukran diucapkan kepada rakan sekelas DPSM 08/09 , Barisan Kepimpinan Mahasiswa/i 09/10,10/11DPSM, serta semua Mahasiswa/i DPSM kerana banyak beri kerjasama dan sokongan dalam menjayakan segala program yg saya dan Jawatankuasa rancangkan .. Akhir Kalam Segala yg baik itu datang dari Allah, dan yg kurang itu pun dtg dari Allah tapi dizahirkan atas diri kami ..

Maher Zain - Thank You Allah with Lyrics

Cinta ...


Adakah Anda Tahu?

Allah memberi kita dua kaki untuk berjalan..
Dua tangan untuk memegang..
Dua telinga untuk mendengar dan,
Dua mata untuk melihat...
Tetapi mengapa Allah hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita.. Kerana Allah telah memberikan sekeping lagi hati pada SESEORANG untuk kita mencarinya Itulah namanya CINTA... Moga cinta kita yang paling agung hanya pada-NYA YANG ESA,
disamping cinta kita pada makhluk-NYA. =)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk semuanya berpasangan, samaada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka sendiri, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya."
(Surah Yaasin : Ayat 36)

Dapat kita fahami dari firman Allah ini, setiap 'apa', 'siapa', 'kejadian', mahupun 'sifat' di muka bumi ini telah diciptakan berpasang-pasangan oleh-Nya. Laksana hitam dan putih, senang dan susah, lapang dan sempit, kaya dan miskin, muda dan tua, hidup dan mati, kejayaan dan kegagalan, kedua tangan dan kaki kita, pancaindera kita, lelaki dan wanita. Bahkan dalam penciptaan manusia itu sendiri pun dapat dilihat hukum berpasang-pasangan ini. Cuba lihat, benih manusia iaitu sperma juga dipasangkan bersama dengan ovum (telur), untuk berlakunya persenyawaan. Otak kita ada dua hemisfera (cerebrum), paru-paru kita ada dua belah (kiri dan kanan), jantung kita terbahagi dua (kiri dan kanan), hati (liver) juga begitu. Samalah juga dengan buah pinggang kita.

Kenapa Allah jadikan sesuatu itu berpasang-pasangan? Wallahu'alam, hanya Allah yang lebih Mengetahui akan tadbir dan taqdir penciptaan alam ini. Yang pasti, tentu saja bagi-Nya Dia lebih tahu jika sesuatu itu berpasangan, ianya lebih baik buat kita, iaitu hamba-hambaNya.

Lihat saja pada fitrah manusia. Terlalu banyak betulnya hukum berpasangan Allah ini, jika kita teliti di setiap sudut kehidupan kita ini. Perasaan kasih itu memerlukan seorang lagi individu untuk mendapat 'sayang'nya. Begitu juga dengan perasaan mencintai dan dicintai, ataupun lebih dikenali dengan 'sense of belongings'. Manusia punya fitrah semulajadi dalam keharuan perasaaannya. Ada rasa cinta dalam dirinya yang ingin diberi pada seseorang, namun dalam masa yang sama dirinya juga mendambakan perasaan 'cinta' itu daripada seseorang.
Manusia akan merasakan cinta bila mana dirinya keseorangan? Ya, dia juga insan yang bolehuntuk mem'beri' cinta itu pabila dia hanya cuma seorang. Fitrah manusia memang begitu, memerlukan seseorang buat menjadi pasangan hidupnya.
Tiada siapa di dunia ini yang pantas untuk bensendirian, sehinggakan jika kita lihat ada orang yang sanggup mengorbankan jiwa dan raganya semata-mata demi pasangannya.{ Adakah saya macam tu ??? kena tanya my dear utk jawapan tu } tapi kalau jawapan saya senang je Apa pun yang saya lakukan untuk dia hanya berniatkan Allah s.w.t ... Selagi ianya tak menyalahi hukum syarak dan melanggar perintah Allah, tak de sapa yang boleh nak cakap bukan2....Jangan suka hukum orang sebab kita tak tahu apa perasaan manusia lain ..