Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa raga serta hasil tanaman.Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.Iaitu orang-orang yang apabila di timpa sesuatu kesusahan mereka berkata,sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.Mereka itulah orang-orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk serta hidayahNya."
Ujian adalah satu wasilah daripada rantaian wasilah yang mampu menghubungkan kita untuk mencapai tahap kematangan.Kematangan dari sudut fikrah,ilmu,bentuk fizikal,keimanan,dan seumpamanya.Sememangnya manusia yang mengakui hakikat kewujudan Allah tidak akan terlepas dari sifat bergantung harap pada pertolongan Allah.Sekalipun manusia pada adatnya seringkali lupa untuk menunaikan suruhan Allah,namun apabila ditimpa musibah kita akan kembali memperbaharui iman.Semuanya seolah-olah bertujuan untuk mengampu supaya Allah menunaikan atau melepaskan kita daripada ujian tersebut.Tidak dinafikan ada di antara kita apabila ujian datang menjengok kita akan kembali menangisi kedhaifan diri.Ujian itu sebenarnya wasilah untuk kita sentiasa merapatkan diri kepada Allah.Bahkan ada segolongan manusia yang terlalu rindu atau dalam erti kata lain berharap agar Allah sentiasa memprogramkan dirinya dengan ujian dan musibah yang berbagai,lalu bagaimanakah sebenarnya fikrah atau tahap keimanan manusia seumpama itu.
Kita imbas kembali perjalanan umat terdahulu yang merupakan satu tamadun yang amat dibanggakan,empayarnya meluas menguasai dunia.Bagaimana tahap keimanan yang mereka miliki natijah daripada meredahi semak samun ujian yang bertebaran dalam perjuangan mereka. Sebagaimana kisah Ummahatul Mukminin meminta bahagian mereka dalam harta rampasan perang,maka turunlah ayat yang memberikan pilihan sama ada kesenangan dunia ataupun janji dari Allah.Berbekalkan keimanan yang tidak berbelah bagi,isteri-isteri Baginda Sallallahu'alaihiwasallam sanggup memilih untuk hidup dalam keadaan serba kedhaifan,kerana dalam keadaan seumpama itu mereka akan sentiasa mengingati Allah.Kesusahan yang mereka tanggung mematangkan keimanan mereka kepada Allah. Begitu juga dengan Puteri Baginda,Isteri kepada Saidina Ali,pernah suatu hari Baginda menziarahi puterinya,terlihat kesan-kesan calar pada tangan Saiditina Fatimah.Beginilah kehidupan puteri kepada pemimpin yang teragung di alam ini.Bukankah Baginda Sallallahu'alaihiwasallam punya kuasa untuk memberikan kesenangan dunia kepada puteri tunggalnya?Kenapa kesusahan dan kepayahan juga yang menjadi pilihan Baginda.Justeru mereka yakin dengan janji Allah.Hati mereka sentiasa mengharapkan keredhaan Allah,sekalipun pelbagai ujan ditimpakan kepada mereka.Apabila musibah kian mengundurkan diri,maka terbit dari diri manusia satu kepuasan.Rasa diri sudah dikurniakan satu kemuliaan oleh Allah,lantas mula lupa diri,jarang yang mampu bersyukur kerana itulah tabiat manusia.
Sebagaimana Firman Allah dalam surah Saba' ayat 13 yang bermaksud:" Terlalu sedikit dikalangan hambaKu yang bersyukur." Bahkan ada di antara kita yang terus hanyut dalam kesenangan yang sementara ini.Tanpa disedari sebenarnya segala nikmat itu adalah ujian daripada Allah.Bertebaranlah kita di atas muka bumi ini dengan penuh kesombongan,setelah kita dulu benar-benar tersepit lalu Allah jua yang menyelamatkan kita.Ujian seumpama inilah yang paling ditakuti oleh Rasulullah menimpa ummatnya,sehinggalah kesusahan itu menjadi sebahagian dari kehidupan Baginda.
Sudah menjadi adat manusia yang benar-benar beriman akan dirintangi dengan berbagai tribulasi,antaranya syaitan yang sentiasa menipunya,nafsu yang sentiasa mengajak kepada keburukan,dunia yang menggodanya,manusia yang dengki kepadanya,dan kawan yang sentiasa melalaikannya.Bergembiralah bagi orang yang berjaya menghadapi semua itu,lantaran tidak akan berkumpul dua kesusahan dan tidak akan berkumpul dua kesenangan.
Sebagaimana Firman Allah dalam surah At-Thalak ayat 7 yang bermaksud: "Orang-orang yang berada dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa,Allah akan memberi kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." Seandainya kita susah hidup di dunia ini dengan melakukan ketaatan kepada Allah,menghadapi ujian dan rintangan daripada Allah akan menatijahkan kesenangan hidup di akhirat kelak,namun seandainya kita senang di dunia ini dengan melanggar perintah Allah dan mengikut hawa nafsu maka natijahnya akan susahlah hidup kehidupan kita di akhirat kelak.
Justeru itulah ujian-ujian ini sebenarnya satu program untuk terus meningkatkan keimanan kita kepada Allah.Bergembiralah orang-orang yang sentiasa diuji oleh Allah,andai kita sentiasa mempositifkan fikrah kita bahawa ujian ini hanyalah wasilah dalam menuju keredhaan Allah,itulah kemenangan yang mutlak disisi Allah.Lantaran setiap kali dikunjungi musibah setiap kali itulah kita akan kembali mendapatkan Allah.Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya," Wahai anakku,dunia ini ibarat lautan yang dalam,ramai manusia yang tenggelam didalamnya.Jadikanlah taqwa sebagai bahteramu,iman sebagai penumpang dan tawakal sebagai layarnya,semoga engkau beroleh kejayaan..."
Wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment